Sahabat Followers

Isnin, 9 Julai 2012

Yang Bertudung Bukan Pilihan

Assalamualaikum SahabatJ 


" Aku tak nak kahwin dengan perempuan yang bertudung !"
" Haa? Kenapa?"
" Aku nak kahwin dengan wanita yang tutup aurat."
Alhamdulillah. Tersenyum hati mendengar jawapan yang serius itu. Tentunya jejaka tersebut seorang yang sangat menjaga diri dan kehidupannya. Pasti dia bukan calang-calang lelaki. Bayangkanlah, pasangan hidup yang dipilih bukan sekadar bertudung tetapi lengkap menutup aurat. Dalam erti kata lain, dia sedar bahawa urusan perkahwinan bukanlah perkara yang remeh. Hanya insan yang mentaati Allah dan RasulNya sahaja yang terpaut di hati untuk dijadikan permaisuri dalam istana rumah tangga.

Lihatlah di sekeliling kita. Apa yang berlaku dalam masyarakat Islam hari ini? Berapa ramai wanita yang bertudung? Pasti boleh dibilang dengan jari bukan? Tidak ramai. Yang bertudung pula, tidak semua menutup aurat dengan sempurna.
Buktinya? Kita boleh lihat dengan mata kepala kita sendiri. Mereka bertudung tetapi tidak labuh hingga menutupi dada. Pakaian pula ketat, singkat, tipis, malah ada yang berlengan pendek. Jelasnya, mereka hanya bertudung namun dalam masa yang sama tetap mendedahkan aurat.
Hayati kembali perintah Allah ini;

يأَيُّهَا النَّبِيُّ قُل لِّأَزْوَاجِكَ وَبَنَاتِكَ وَنِسَاء الْمُؤْمِنِينَ يُدْنِينَ عَلَيْهِنَّ مِن جَلَابِيبِهِنَّ ذَلِكَ أَدْنَى أَن يُعْرَفْنَ فَلَا يُؤْذَيْنَ وَكَانَ اللَّهُ غَفُوراً رَّحِيماً
Wahai Nabi, katakanlah kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu dan isteri-isteri orang mukmin: "Hendaklah mereka melabuhkan jilbabnya ke seluruh tubuh mereka". Yang demikian itu supaya mereka lebih mudah untuk dikenal,maka mereka tidak akan diganggu. Dan Allah adalah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.
[33:59]

Wanita yang bertudung tetapi masih mendedahkan aurat dikhalayak ramai merupakan wanita yang tidak serius menjalankan ketaatan kepada Allah. Wanita sebegini tidak mengamalkan ajaran Islam secara keseluruhan. Lantas bagaimana hendak dipilih menjadi calon isteri?
Cuba fikirkan sejenak..
Sedangkan perintah Allah SWT sanggup diabaikan inikan pula kita sebagai manusia biasa? Sudah pasti dengan mudah akan diingkari bukan? Pada masa itu, jangan hairan sekiranya kebahagiaan itu beransur-ansur hilang. Semuanya atas pilihan kita juga.

" Tapi jodoh sudah ditentukan! Kalau dia ditakdirkan untuk berkahwin dengan orang yang tidak menutup aurat secara sempurna, apa boleh buat.. memilih-milihpun tiada guna."
Ya.. Jodoh memang sudah ditentukan oleh Allah. Allah sahajalah yang layak menyatukan hati-hati insan kerana hanya Dia yang mengetahui perihal hati. Kita jangan lupa bahawa jodoh atau ketetapan itu dijalankan dengan penuh keadilan oleh Allah SWT. Allah sesekali tidak akan menzalimi hambaNya. Allah tidak akan pernah mengecewakan hambaNya.
Lelaki baik yang beriman pasti akan berkahwin dengan perempuan baik yang beriman. Sebaliknya, lelaki yang tidak beriman akan berkahwin dengan perempuan yang tidak beriman juga. Demikianlah perempuan yang tidak mentaati Allah dengan menjalankan Islam secara sepenuhnya akan berkahwin dengan lelaki yang berperwatakan sepertinya. Itu janji Allah!

الْخَبِيثَاتُ لِلْخَبِيثِينَ وَالْخَبِيثُونَ لِلْخَبِيثَاتِ وَالطَّيِّبَاتُ لِلطَّيِّبِينَ وَالطَّيِّبُونَ لِلطَّيِّبَاتِ
"Wanita-wanita yang keji adalah untuk lelaki-lelaki yang keji, dan lelaki-lelaki yang keji adalah buat wanita-wanita yang keji (pula), dan wanita-wanita yang baik adalah untuk lelaki-lelaki yang baik dan lelaki-lelaki yang baik adalah untuk wanita-wanita yang baik (pula).
[24:26]

Maka, sebagai wanita..
Periksalah diri kita.. Tutuplah aurat dengan sempurna.
Bersungguh-sungguhlah mentaati Allah dan RasulNya.
Usahlah terlalu sibuk memikirkan siapa yang bakal menjadi pasangan hidup kita,
sehingga lupa untuk sibuk memikirkan siapa diri kita di sisi Allah..
Kerana sikap diri kita hari ini menentukan sikap pasangan kita kemudian hari...

‘’Yang Bertudung Bukan Pilihan, Yang Menutup Aurat Jadi Idaman”

                                                      Wallahua'lam J

Tiada ulasan: