Salam
Muhasabah dan Salam Ukhwah…
Sebahagian besar daripada kita asalnya datang
daripada keluarga yang serba kekurangan. Sewaktu kecil, kita pernah merasa
punyai hanya sepasang baju sekolah yang senteng kerana ayah tidak mampu membeli
pakaian baru. Ataupun, kita menyarung baju yang gedoboh kerana ia asalnya
pakaian sekolah abang yang diberi kepada kita.
Untuk berjimat, kita membawa bekal ke sekolah
berupa lempeng atau cekodok sekadar mengalas perut. Walaupun diberi duit
belanja, ianya cukup-cukup untuk membeli mi sepinggan dan segelas air sirap.
Itu pun sudah cukup baik kerana ramai lagi kawan-kawan di waktu itu tidak
membawa se sen pun ke sekolah. Mereka berlapar. Kalau haus, mereka menonggeng
minum air paip sehingga kenyang. Tiada paip water cooler di
sekolah pada zaman itu.
Di rumah, kita makan apa yang emak hidangkan.
Kadang-kadang, makan malam kita adalah lauk tengahari. Ada juga masanya, makan
malam kita adalah lauk dua tiga hari yang lepas, yang diperhangat sampai
kering. Seisi keluarga akan makan hidangan yang sama. Bukan macam sekarang.
Adakalanya, hanya si suami yang akan makan masakan isterinya, sedangkan
anak-anak makan apa jua menu selain daripada masakan ibu.
Siapa yang tidak pernah merasai kemiskinan? Sama
ada ketika di kampus ataupun di hari-hari terakhir bulan ketika hidup
membujang, sebahagian daripada kita tentu sekali pernah mengalami situasi tidak
berduit hendak makan. Keadaan itu cukup menyakit dan memalukan. Malu pada orang
dan malu pada diri sendiri.
Sebab itu, kita berazam untuk mengubah cara
hidup dengan belajar rajin-rajin hingga mendapat kerja baik, atau menjadi
usahawan hingga hidup kita menjadi selesa, kaya dan akhirnya dihujani kemewahan
yang melimpah ruah. Alhamdulilah. Kita yang asalnya susah dan 'makan untuk
hidup' kini bertukar senang dan kini 'hidup untuk makan.' Betapa lama
kelamaan, kesenangan yang berpanjangan itu menjadikan kita terlupa apa
erti kemiskinan.
Kita yang mewah biasa melancong ke pelbagai
tempat eksklusif atau bersantai bersama keluarga di kompleks membeli-belah. Di
sana, kita lihat wajah-wajah yang riang gembira seperti kita. Kemewahan ada di
mana-mana. Orang masih berbelanja walaupun ramai yang kata harga barang-barang
sudah mahal.
Tetapi, kita tak akan terserempak dengan
golongan yang sudah tidak mampu mengunjungi ke tempat-tempat rekreasi seperti
kita. Mereka tiada di tempat-tempat ini. Mereka juga tidak kelihatan di
gerai-gerai tepi jalan, di pasar-pasar tani, bahkan di pasar-pasar malam.
Mereka hanya berada di tempat kerja. Selepas kerja, mereka akan berkurung di
rumah. Pendek kata, mereka sudah berundur dari pentas dunia kerana lelah
mengejar kesenangan. Mereka kalah dan terperosok di dalam dunia kemiskinan dan
menyisih diri. Sebab itu kita sudah tidak temui mereka.
Apakah kebimbangan mereka yang miskin ini?
Mereka bimbang bagaimana hendak memberi makan kepada isteri dan anak-anak,
membayar sewa rumah, melangsaikan pelbagai jenis bil dan hutang piutang yang
semakin bertambah. Hidup mereka kais pagi makan pagi dan kais petang makan
petang. Masa depan mereka hanyalah setakat esok hari. Mereka tidak berani
berpandangan jauh kerana yang dekat pun sudah tidak terlarat hendak difikirkan,
apatah lagi diimpikan.
Barangkali, dalam keadaan risau dan hampir putus
harap akibat kemiskinan, maka terdetik di hati mereka mengapakah Allah
menjadikan mereka sesusah dan semalang ini? Mengapa mereka tidak bernasib baik
seperti orang lain yang cukup makan pakainya? Oleh kerana melihat masa depan
yang kelam dan suram, mereka tergamak mempersoal Allah yang menjadikan mereka
malang sebegitu.
"Hampir-hampir kemiskinan itu membawa
kepada kekufuran."
Meskipun hadis ini lemah, kemiskinan harta boleh
membuatkan seseorang itu bimbang, risau dan putus asa. Kemiskinan harta boleh
menjadikan seseorang itu juga miskin jiwanya hingga bertanya keadilan Allah
yang mengatur segalanya.
Alangkah baik, dalam kemewahan kita pada hari
ini, kita tidak lupa kepada mereka yang malang ini. Kita mesti menolong mereka.
Apabila kita menghulurkan bantuan kepada mereka, tentulah mereka akan
memanjatkan syukur kepada Allah. Mereka akan memuji-Nya kerana rintihan mereka
didengari oleh Yang Maha Mendengar.
Jika sebelum ini, mereka mempersoalkan Allah
kerana kemiskinan mereka, tidakkah bantuan yang kita sampaikan kepada mereka
itu menjadikan mereka berterima kasih dan mengagungkan Allah kembali? Dalam
erti kata yang lain, tidakkah bantuan kita menarik mereka dari jurang kekufuran
untuk kembali meyakini-Nya?
Mari hayati zaman sukar kita dengan menyenangkan
orang lain. Mari gembirakan hati kita dengan membahagiakan orang lain.
"Barangsiapa ingin doanya terkabul dan dibebaskan
dari kesulitannya hendaklah dia menyelesaikan kesulitan orang
lain."(Hadis riwayat: Imam Ahmad)
|
Wallahua’lam J